Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman, Ihsan BERNAMA
KUALA LUMPUR, Selasa, 28 Oktober. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menghadiri Sidang Kemuncak Komemoratif ASEAN-New Zealand yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre, hari ini.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.
Semasa Sidang Kemuncak Komemoratif ASEAN-New Zealand, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menzahirkan rasa gembira dalam memperingati Jubli Emas Perkongsian Dialog ASEAN – New Zealand, yang telah menyumbang kepada penubuhan Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN - New Zealand.
Dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi global, ASEAN dan New Zealand mesti bekerjasama rapat untuk membina ekonomi yang lebih berhubung, berdaya saing dan berdaya tahan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengalu-alukan pelaburan untuk meningkatkan kemahiran digital dan menambah baik infrastruktur digital serta penaiktarafan FTA ASEAN-Australia-New Zealand untuk membina wilayah yang lebih inklusif dan bersedia untuk masa hadapan.
Selepas Sidang Kemuncak tersebut, Kebawah DYMM bersama dengan Ketua-ketua Negara dan Kerajaan ASEAN dan New Zealand telah berangkat menghadiri Gala Lunch ASEAN-New Zealand.